Boeing sekali lagi terlibat dalam insiden penerbangan apabila pesawatnya, Boeing 787 Dreamliner menghadapi pergolakan udara yang teruk semasa terbang di atas Turki, menyebabkan 12 orang cedera.
Lapangan Terbang Dublin pada 26 Mei, semalam melaporkan bahawa penerbangan Qatar Airways, QR017, dari Doha ke Dublin mengalami pergolakan namun dapat mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Dublin pada hari Ahad jam 1:00 petang, disambut oleh perkhidmatan kecemasan, termasuk polis lapangan terbang dan jabatan bomba dan penyelamat sebaik mendarat.
Siri peristiwa malang untuk Boeing bermula pada awal Januari apabila sebahagian daripada pesawat Alaska Airlines 737 Max terpisah tidak lama selepas berlepas. Boeing kemudiannya menghadapi lagi satu insiden malang pada 11 Mac 2024, apabila pesawat 787 Dreamliner mengalami penurunan mendadak semasa penerbangan dari Australia ke New Zealand, menyebabkan kecederaan kepada ramai penumpang.
Insiden Boeing 787, Qatar Airways ini pula terjadi hanya beberapa hari selepas seorang lelaki Britain meninggal dunia dan puluhan orang tercedera teruk pada penerbangan Singapore Airlines Boeing 777 yang mengalami pergolakan tiba-tiba dan teruk pada perjalanan Heathrow-Singapura. Hal ini menjadi peringatan yang jelas berkaitan risiko yang berkaitan dengan penerbangan udara, terutamanya dalam menghadapi perubahan iklim.
Menurut pihak berkuasa Lapangan Terbang Dublin, enam penumpang dan enam ahli anak kapal cedera semasa insiden itu. Semua penumpang menjalani penilalian kecederaan sebelum turun dari pesawat, dan lapan dibawa ke hospital di Dublin. Qatar Airways menjelaskan kecederaan yang dialami oleh penumpang dan anak kapal sebagai “ringan” dan mengesahkan bahawa mereka kini menerima rawatan perubatan.
Penumpang di dalam penerbangan itu menggambarkan insiden itu sebagai menakutkan apabila melihat orang “memukul bumbung” kerana tanda sabuk keselamatan dimatikan semasa insiden itu dan makanan dan minuman berselerak kerana ia berlaku semasa perkhidmatan makanan dan minuman.
Qatar Airways telah memulakan penyiasatan dalaman mengenai insiden itu, yang berlaku pada pesawat Boeing 787-9 dari Doha ke Dublin. Syarikat penerbangan itu menekankan bahawa keselamatan anak kapal dan penumpang adalah keutamaan mereka.
Ketika industri penerbangan terus berdepan dengan cabaran yang dihadapi oleh pergolakan udara, penumpang dan syarikat penerbangan juga tertanya-tanya akan keadaan cuaca yang menjadi semakin tidak menentu.
Pakar telah memperingatkan bahawa walaupun pesawat direka untuk bertahan terhadap pergolakan yang teruk, faktor-faktor yang berkaitan dengan perubahan iklim seperti pemanasan suhu boleh menyebabkan kelajuan angin yang lebih tinggi, berpotensi meningkatkan risiko pergolakan.
Memetik laporan CNN, Paul Williams, profesor sains atmosfera di Universiti Reading, menyatakan bahawa perubahan iklim mengubah suai pergolakan, dengan simulasi komputer mencadangkan bahawa pergolakan teruk boleh berlipat ganda atau tiga kali ganda dalam beberapa dekad akan datang.
Insiden pada penerbangan Qatar Airways telah mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan penerbangan, terutamanya selepas insiden Singapore Airlines baru-baru ini. Singapore Airlines telah mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dalam menguruskan pergolakan semasa penerbangan, termasuk menggantung perkhidmatan makanan apabila tanda sabuk keselamatan dihidupkan dan memastikan semua barang dan peralatan longgar semasa cuaca buruk berada dalam keadaan selamat.