KUALA LUMPUR: Enam bekas ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim yakin bahawa kerusi mereka tidak akan dikosongkan.
Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman, menyatakan tindakan mereka menyokong Kerajaan Madani tidak melanggar perlembagaan parti.
Mereka mengesahkan bahawa mereka tidak keluar parti atau melompat parti; sebaliknya, mereka dipecat oleh Bersatu dan nama mereka dibuang dari sistem parti itu.
“Kami berpendapat tidak akan berlaku kekosongan kerusi di kawasan Parlimen kami disebabkan kami tidak pernah meninggalkan parti Bersatu.
“Kami tidak berhenti menjadi ahli kepada parti Bersatu, tetapi apa yang berlaku ialah kami dipecat daripada parti dan nama kami dibuang daripada sistem keahlian Bersatu.
“Dengan ini jelas membuktikan tiada ada unsur kami berenam meninggalkan parti atau melompat ke parti lain yang mana boleh meletakkan kami di perkara 49 A (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Zulkafperi Hanapi.
Bersatu telah mengemukakan notis kepada speaker untuk meminta keenam-enam kerusi parlimen yang dipegang oleh wakil rakyat yang menyokong Anwar Ibrahim dikosongkan.
“Justeru, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima,” kata Ronald.
Suhaili juga menyalahkan pucuk pimpinan Bersatu yang enggan mengikuti titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan.
“Kami juga ingin menyatakan kami sokongan kerajaan Madani adalah demi kepentingan rakyat di kawasan Parlimen kami masing-masing yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan kebajikan.
“Apa yang menyebabkan kami Jadi pembangkang…bukan kami, kami bertanding menang nak jadi kerajaan, Yang di-Pertuan Agong sarankan supaya Bersatu menjadi (sebahagian) kerajaan.
Tapi dua pucuk pimpinan parti yang buat keputusan untuk jadi blok pembangkang tanpa berbincang dengan kami,” katanya lagi.