KUALA LUMPUR: Peguam yang mewakili ibu Zayn Rayyan telah membantah permohonan polis untuk merekodkan pengakuan anak guam mereka. Peguam Mahmud Abdul Jumaat dan Fahmi Abdul Moin mendakwa bahawa polis menggunakan akta yang tidak relevan di bawah Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan Akta Keterangan untuk prosiding tersebut.

Menurut laporan dari Astro Awani, Mereka juga mengadu tidak diberi notis oleh pegawai penyiasat tentang prosiding yang dijalankan secara tertutup.

“Jadi bantahan pertama yang direkodkan (di hadapan majistret), mahkamah sedia maklum bahawa kami (peguam) tidak dimaklumkan. Dan juga atas sebab tidak ada apa apa peruntukan khusus.

“Kami tegaskan ia adalah prejudis sama ada terhadap Isma (ibu) atau Zaim (bapa).

“Ketiganya, yang menjadi asas bantahan kami juga, bahawa permohonan ini boleh menjejaskan apa-apa defense (hujah pembelaan) sekiranya dituduh, itu pun kalau dituduh,” kata Fahmi.

Mahmud berkata, anak guam mereka telah bersetuju untuk hadir dengan tujuan membetulkan pengakuan yang dibuat sewaktu dalam tahanan reman.

Pegawai penyiasat menjelaskan bahawa pengakuan ini akan dilakukan mengikut Seksyen 26 Kanun Tatacara Jenayah. Seksyen tersebut menyatakan bahawa pengakuan salah yang dibuat oleh tertuduh semasa dalam jagaan polis tidak boleh dibuktikan bagi menentangnya di mahkamah.

Peguam-peguam tersebut kini menunggu keputusan esok, hari terakhir tempoh reman, untuk mengetahui sama ada kertas siasatan telah lengkap dan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara. Keputusan tersebut akan menentukan sama ada pendakwaan akan diteruskan atau ibu bapa Zayn Rayyan akan dibebaskan.

Hari ini, hanya ibu Zayn Rayyan yang dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendengar bantahan tersebut, manakala bapanya masih ditahan dalam reman.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia