KUALA LUMPUR: Ustaz Don Daniyal Don Biyajid hari ini mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wakil Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil. Pertemuan yang berlangsung di pagi hari ini berjalan dengan lancar dan harmoni.
Menurut Ustaz Don dalam satu hantaran di akaun rasminya di media sosial, pandangan dan pendapat telah diberi dan diterima dengan terbuka dalam suasana yang sangat baik.
“Alhamdulillah, pertemuan yang diatur bersama pihak JAKIM, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wakil Kementerian Dalam Negeri dan Ustaz Fawwaz Fadhil pagi tadi berjalan dengan lancar. Pandangan dan pendapat diberi dan diterima dengan terbuka dalam suasana yang sangat harmoni.” Tulisnya
Ustaz Don turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pertemuan tersebut. “Terima Kasih kerana menjemput dan menerima kehadiran kami. Semoga pertemuan tadi memberi manfaat yang lebih besar buat semua,” katanya.
Pertemuan ini diadakan berikutan kontroversi yang timbul baru-baru ini berhubung dakwaan Ustaz Don mengenai kisah hidup Nabi Muhammad SAW. Dakwaan itu telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang mempertikaikan kesahihannya. Susulan kontroversi itu, Ustaz Don telah direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).