KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyasarkan untuk melaksanakan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata setakat ini lebih 9,000 daripada lebih 10,000 sekolah di negara ini telah berjaya melaksanakan sistem satu sesi, manakala selebihnya masih belum dapat berbuat demikian disebabkan oleh kepadatan murid.

“Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program INTAN Minister’s Conversation (IMC): Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Anesee Ibrahim.

Fadhlina menjelaskan bahawa faktor-faktor seperti pembinaan sekolah baharu dan proses baik pulih sekolah daif akan mempengaruhi pelaksanaan sistem satu sesi ini.

“KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan (seperti) soal tempat, premis dan pengurusan sekolah itu sendiri,” katanya.

Selain itu, Fadhlina turut mengulas mengenai kebimbangan terhadap ketagihan rokok elektronik atau vape di kalangan pelajar. Beliau menegaskan bahawa pihak kementerian memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi dalam menangani masalah tersebut.

Dilaporkan bahawa lebih 20,000 pelajar sekolah di seluruh negara terlibat dalam gejala vape.

“Jadi sebab itu pendekatan kita selain memberikan kesedaran dan juga berkaitan dengan tindakan disiplin, kita juga mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala vape ini daripada terus berleluasa dalam kalangan anak-anak kita.

“Kita akan terus berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dapat benar-benar dikekang khususnya melibatkan kesihatan, disiplin anak-anak kita di sekolah dan yang paling utama bagaimana anak-anak kita ini mesti dapat kesedaran penuh tentang bahayanya vape ini,” katanya.

Program IMC hari ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai kepimpinan inklusif dalam menangani cabaran pembangunan sosial, ekonomi, dan politik.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia