Penduduk kawasan rendah dan pesisir Selangor diminta berwaspada fenomena air pasang besar

KUALA LUMPUR: Penduduk di kawasan rendah dan pesisir Selangor diminta sentiasa berwaspada susulan ramalan fenomena air pasang besar dengan paras air dijangka mencecah 5.2 meter pada Ahad (8 November).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata ramalan itu berdasarkan unjuran Jabatan Pengairan dan Saliran, manakala paras air di Klang direkodkan 5.1 meter pada Sabtu (7 November).
Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan aliran air dari kawasan Sungai Buloh dan Ijok bertemu dengan air pasang, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
"Justeru, kami menggesa penduduk di kawasan pesisir dan rendah, seperti sekitar Kuala Selangor, supaya berwaspada dan membuat persediaan awal," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Mengenai banjir di Kampung Melayu Subang, beliau berkata peningkatan paras air di kawasan itu dipercayai berpunca daripada limpahan sistem saliran setempat dan bukan fenomena air pasang besar. Bomba tidak menerima sebarang laporan lanjut mengenai kejadian itu, namun pemantauan diteruskan bagi memastikan bantuan dapat diberikan segera.
Di media sosial, pengguna memaparkan Kampung Melayu Subang dilanda banjir kilat sekali lagi selepas hujan lebat pada petang Sabtu, dengan air menenggelami kawasan perumahan serta sebahagian halaman dan jalan masuk. Seorang pengguna Threads, Nurul Azuwana, mendakwa paras air naik hanya selepas kira-kira 20 minit hujan, manakala seorang lagi pengguna mendakwa ia banjir kilat ketiga di kawasan itu minggu ini.
Pada Isnin (2 November), kira-kira 92 rumah di empat kawasan di Kampung Melayu Subang, iaitu Lorong Merbau, Jalan Cengal, Jalan Resak dan Jalan Jati, dilaporkan dilanda banjir.
Foto: Basile Morin / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




