Polis Karnataka siasat sama ada anak remaja bantu bapa buang mayat tujuh ahli keluarga

NEW DELHI: Polis Karnataka sedang menyiasat sama ada anak perempuan remaja kepada seorang lelaki yang didakwa membunuh tujuh ahli keluarga isterinya turut membantu membuang mayat mangsa, kata Menteri Dalam Negeri negeri itu, Priyank Kharge, pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek, Indushekar atau Shekhar, didakwa membawa anak perempuannya yang masih di bawah umur dalam kereta ketika mengangkut mayat, kerana percaya kehadiran anaknya dapat mengelakkan syak wasangka.
Setakat ini hanya satu mayat ditemui, manakala pencarian enam mangsa lain masih diteruskan. Kharge berkata pihak penyiasat tidak mendedahkan butiran lanjut kerana sedang mengesahkan keterangan suspek.
Suspek, seorang pemandu teksi di Bengaluru, ditahan selepas polis menyiasat laporan orang hilang yang dibuat pada 3 November.
Tujuh mangsa dikenal pasti sebagai isterinya, Sunitha; ibu mentuanya, Roopavathi; dua abang ipar, Shivakumar dan Shankar; isteri mereka, Divya dan Nalini; serta kanak-kanak tujuh tahun, Puneeth. Mayat Puneeth ditemui di kawasan Nandi Hills di daerah Chikkaballapur.
Pesuruhjaya Polis Bengaluru, Seemant Kumar Singh, memberi amaran bahawa keterangan suspek mengenai pembunuhan, lokasi pembuangan dan kaedah yang digunakan perlu disahkan secara bebas sebelum boleh dianggap sebagai fakta.
Peranan anak remaja itu belum dapat dipastikan. Menurut Kharge, maklumat awal menunjukkan suspek mempengaruhi anaknya supaya mengikut arahannya, dan remaja itu dilaporkan memberitahu penyiasat bahawa dia bertindak atas arahan bapanya. Polis sedang meneliti sama ada tindakannya boleh dianggap bersubahat.
Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Etios yang didakwa digunakan untuk mengangkut mayat. Kenderaan itu mempunyai pelekat 'Press' dan mengandungi cadar serta air mawar yang didakwa digunakan suspek untuk menutup bau mayat reput. Penyiasat turut menyemak dakwaan mayat dibalut berulang kali dengan pita pelekat sebelum diangkut pada awal pagi.
Suspek juga didakwa mengambil barang kemas emas daripada mangsa. Sebahagian dijual, sebahagian digadai dan selebihnya disimpan. Urus niaga itu disiasat bagi menentukan sama ada faktor kewangan menjadi motif.
Motif sebenar belum disahkan. Kharge berkata suspek memberi beberapa alasan, termasuk dakwaan dilayan buruk oleh keluarga isterinya.
"Suspek menyatakan beberapa sebab, termasuk ahli keluarga isterinya tidak bercakap dengan baik kepadanya. Dia juga membuat tuduhan terhadap isterinya. Kami sedang mengesahkan semua dakwaan ini," katanya.
Jiran dilaporkan memberitahu polis bahawa pasangan itu kerap bertengkar, dan keterangan itu sedang disemak berbanding bukti lain.
Siasatan dipindahkan daripada Inspektor Polis Krishna kepada Penolong Pesuruhjaya Polis Prabhavathi sebagai pegawai penyiasat, dengan pengawasan Pesuruhjaya Polis Tambahan Vamshi Krishna. Kharge berkata lebih banyak masa diperlukan untuk menentukan fakta kes.




