Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud landa luar pesisir Tokyo, tiada amaran tsunami

TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud melanda perairan luar pesisir Tokyo pada Jumaat, menurut pihak berkuasa Jepun, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam laman webnya berkata gempa cetek itu berlaku pada pukul 7.39 malam waktu tempatan (1039 GMT) di laut luar pesisir wilayah Kanto.
Pusat gempa terletak kira-kira 169 kilometer ke tenggara Asahi, bandar yang berada di timur ibu negara, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
JMA merekodkan gegaran pada 'keamatan seismik 3' berdasarkan skala 0 hingga 7 Jepun, yang bermaksud hampir semua orang di dalam bangunan merasai gegaran itu dan pinggan di para mungkin bergetar.
Setakat ini tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kecederaan.
Jepun antara negara paling kerap dilanda gempa bumi di dunia kerana terletak di atas empat plat tektonik utama di sebelah barat Lingkaran Api Pasifik.
Kepulauan yang menempatkan kira-kira 125 juta penduduk itu lazimnya mengalami ratusan gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada gempa bumi di dunia.
Kebanyakan gempa adalah ringan, walaupun tahap kerosakan yang berlaku bergantung pada lokasi dan kedalaman gempa itu.
Foto: David Kernan / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




