Singapura cadang denda S$20 juta syarikat langgar undang-undang jerebu

SINGAPURA: Singapura mencadangkan pindaan besar kepada undang-undang jerebunya bagi memberi pihak berkuasa lebih banyak kuasa menyiasat dan bertindak terhadap syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran di rantau ini.
Rang Undang-Undang meminda Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) itu turut meningkatkan penalti kewangan dan komersial terhadap pihak yang disabitkan bersalah, serta membolehkan Singapura bertindak sebelum asap pencemar sampai ke negara itu.
Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Grace Fu, ketika membentangkannya di Parlimen pada Rabu berkata, jerebu bukan fenomena alam tetapi akibat tindakan manusia, didorong amalan tidak bertanggungjawab syarikat yang mengejar keuntungan.
Pindaan itu dibentangkan di bawah perperakuan segera yang ditandatangani Presiden, membolehkannya dibahaskan dan diundi dalam sidang yang sama. Fu berkata Singapura perlu segera memperkukuh undang-undang bagi menjejak hubungan korporat, menghukum pihak bertanggungjawab dan menghalang pencemaran jerebu sebelum sampai ke republik itu, supaya bukti penting dalam siasatan yang sedang berjalan tidak hilang.
Di bawah akta sedia ada, individu atau pihak yang menyebabkan atau membiarkan kebakaran boleh didenda sehingga S$100,000 sehari, dengan had keseluruhan S$2 juta. Akta itu hanya digunakan dua kali, iaitu pada 2015 dan 2026, namun setakat ini tiada denda dikenakan.
Antara perubahan utama, Ketua Pengarah Perlindungan Alam Sekitar akan diberi kuasa mengarahkan syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan jerebu agar melantik penilai daripada sektor swasta. Berdasarkan laporan yang diserahkan kepada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), pihak berkuasa boleh memutuskan sama ada melepaskan atau meneruskan tindakan terhadap syarikat berkenaan.
Kegagalan mematuhi arahan itu boleh membawa denda sehingga S$20 juta jika disabitkan. Dokumen undang-undang juga boleh disampaikan secara elektronik, termasuk melalui e-mel, laman web NEA atau media, berbanding kaedah fizikal sekarang yang menyukarkan proses terhadap entiti luar negara.
Fu berkata Singapura mengalami tempoh kualiti udara tidak sihat dari 4 September hingga 26 Oktober, dan ramai rakyat mahu tindakan lebih berkesan serta pihak bertanggungjawab dipertanggungjawabkan. "Kerajaan berkongsi kebimbangan ini," katanya.
Foto: No machine-readable author provided. SpLoT assumed (based on copyright claims). / Wikimedia Commons (CC BY 2.5)




