Jalan Rawang-Kuala Selangor ditutup sepenuhnya selepas tanah runtuh di Gombak

KUALA LUMPUR: Satu bahagian Jalan Rawang-Kuala Selangor (B27) di Seksyen 9.90, daerah Gombak, ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas selepas kejadian tanah runtuh susulan hujan lebat.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 11 malam Khamis (5 November) dan melibatkan kegagalan cerun di bahagian atas serta bawah jalan, menyebabkan sebahagian struktur jalan di lokasi terbabit runtuh.
Tanah runtuh itu turut menumbangkan pokok yang menutup keseluruhan jalan.
Menurut JKR, penutupan jalan dilaksanakan oleh JKR Gombak, manakala maklumat laluan alternatif disebarkan kepada pengguna jalan raya melalui laman Facebook JKR Selangor dan JKR Gombak pada pagi Jumaat.
"Kejadian ini dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan resapan air hujan dalam kuantiti tinggi dan meningkatkan ketepuan tanah di kawasan cerun," menurut JKR dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.
Jabatan itu menjelaskan, peningkatan tekanan air liang kemudian menyebabkan ketidakstabilan cerun dan pergerakan tanah, sekali gus mengakibatkan sebahagian struktur jalan runtuh dan rosak. Bagaimanapun, siasatan terperinci dan penilaian teknikal masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.
Pelan pengurusan trafik, termasuk pemasangan tanda penutupan penuh jalan dan lencongan, telah diaktifkan. Kanvas sementara juga dipasang pada tebing dan permukaan cerun jalan yang terjejas bagi mengelakkan hakisan dan tanah runtuh susulan.
Kerja pembersihan sisa tanah dan pokok tumbang di bahagian atas cerun telah dilakukan oleh syarikat konsesi jalan negeri, di samping pemantauan berterusan terhadap pergerakan struktur jalan dan kestabilan cerun.
JKR turut memaklumkan jalan lencongan sementara akan dibina di kawasan terjejas untuk kenderaan ringan, tertakluk kepada pertimbangan teknikal melibatkan keselamatan dan kestabilan cerun.
"Pengumuman mengenai pembukaan semula jalan akan dibuat setelah penilaian teknikal mengesahkan ia selamat untuk lalu lintas dan laluan lencongan terhad kepada kenderaan ringan disediakan," katanya.




