KUALA LUMPUR: Seorang peguam dan pemilik syarikat ejen pelaburan (remisier) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberikan maklumat palsu kepada mahkamah dengan tujuan menyembunyikan dana pelaburan lebih daripada RM60 juta yang dikumpulkan daripada ribuan pelabur tempatan.
Menurut siasatan SPRM, peguam dan remisier tersebut disyaki berkomplot mahu memindahkan dana tersebut ke akaun luar pesisir Labuan selepas gagal memberikan maklumat mengenai pelaburan kepada pelabur tempatan yang menuntut semula dana mereka.
Remisier yang berusia 52 tahun itu dikatakan telah menubuhkan sebuah syarikat pelaburan Forex di Singapura.
Peguam yang membantu dalam komplot ini kemudiannya mengeluarkan cadangan untuk mendapatkan bayaran berjumlah kira-kira RM50 juta sebagai yuran guaman daripada syarikat pelaburan itu melalui satu writ saman yang difailkan di sebuah mahkamah di utara tanah air.
“Sebenarnya siasatan SPRM mendedahkan bahawa siasatan mereka menemui tuntutan atau writ saman yang difailkan adalah palsu, sebaliknya merupakan satu perbuatan komplot antara peguam dan remisier terlibat.
“Tujuannya hanya untuk menyembunyikan dana pelabur berjumlah puluhan juta ringgit,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan bahawa SPRM sedang menyiasat kes ini dan suspek utama termasuk pemilik syarikat pelaburan dan peguam berkenaan telah ditahan untuk membantu siasatan.
Walau bagaimanapun, beliau enggan memberikan komen lanjut kerana siasatan masih dijalankan mengikut Akta SPRM dan Kanun Keseksaaan.