Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan ada peringkat lebih tinggi terbabit isu penerimaan suapan berjumlah lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak 2022 sehingga tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan penyiasat SPRM sudah memohon untuk membekukan akaun bank ketiga-tiga individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam menyalurkan wang kepada suspek utama.

Beliau menekankan keperluan untuk mengetahui ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terbabit dalam skandal atau sindiket untuk mendaftarkan mereka yang sudah berpoligami di Thailand dengan cara tidak betul.

“Ketiga-tiga individu yang ditahan hanya permulaan, namun kita tidak menolak kemungkinan ada pihak lain yang terlibat dalam skandal ini.

“Yang penting, kami ingin mengetahui aliran wang tersebut dan siapa lagi yang terlibat dalam sindiket mendaftarkan perkahwinan tidak sah di Thailand. Pegawai penyiasat SPRM telah memohon pembekuan akaun mereka yang ditahan untuk menyiasat perbelanjaan wang yang telah dilakukan,” katanya.

Tempoh reman tiga suspek yang ditahan dilanjutkan selama tiga hari sehingga 12 Jun depan.

Mereka termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), imam masjid, dan anaknya yang juga pemilik syarikat bertindak sebagai perunding dalam urusan pernikahan di Perlis.

Penahanan ini berlaku berikutan siasatan SPRM berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 hingga Jun 2023.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia