Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dakwa pentadbiran terdahulu membenarkan maksiat dengan meluluskan premis judi. Beliau menegaskan bahawa pimpinan pada waktu itu mendapat sokongan rakyat, menyebabkan mereka berkuasa untuk membenarkan maksiat tersebut berlaku dan ianya perlu dihentikan.

“Macam mana kita nak hentikan? Kita berjuang. Bila kita menang kita tutup premis perjudian, supaya dosa tadi terhenti. Bukan sahaja dosa yang dulu diampun oleh Allah SWT, tetapi juga dan dosa yang akan datang,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan bahawa proses perjuangan dan mukjizat adalah dua perkara yang berbeza, dengan mengambil iktibar dari peristiwa Isra’ Mikraj dan Hijrah Rasulullah SAW.

Menurutnya, Allah SWT menetapkan bahawa ada proses dalam perjuangan, dan kemenangan tidak akan datang secara tiba-tiba.

Beliau juga menegaskan bahawa PAS perlu menang pilihan raya untuk berkuasa dan membetulkan maksiat yang dibenarkan berlaku oleh pentadbiran terdahulu.

Menurut Harakahdaily, beliau mengambil pengajaran daripada sirah kemenangan Nabi Muhammad di mana, Allah SWT di dalam Al-Quran mengampunkan dosa-dosa golongan terdahulu dan kemudian setelah berlaku kemenangan Islam di sesuatu tempat.

“Allah SWT menjelaskan kemenangan Islam tujuan pertama dan besar ialah kerana Allah SWT nak ampun dosa yang dulu dan dosa yang kemudian.

“Dengan kemenangan Islam kita boleh betulkan dasar yang tak betul, kemungkaran yang dibenarkan zaman dulu, contohnya perjudian,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana PAS secara berperingkat menghentikan dasar-dasar yang bercanggah dengan Islam sewaktu mentadbir Kelantan dahulu.

“Mana yang tak bercanggah kita benarkan. Ada proses-proses yang kita alami. Demikian juga kita menang di Terengganu. Kita tak tutup terus bar, disko, kelab malam. Tetapi kita ada proses, ada kaedah-kaedah yang kita buat, ada aulawiyat.

“Mana yang perlu utama dulu, mana yang perlu kemudian. Sebab kena teliti, kena hati-hati. Allah SWT bila mana mengharamkan arak ada tiga peringkat. Demikian juga Allah SWT dalam waktu menetapkan sesuatu hukum, ia tidak akan mengejut tiba-tiba sahaja,” katanya.

Tambahnya, ia sama dengan perintah solat Jumaat yang diterima sewaktu Rasulullah SAW berada di Makkah, namun ia hanya boleh dilaksanakan di Madinah selepas berlaku Hijrah kerana ketidaksesuaiannya untuk dilaksanakan di Makkah sebelum itu.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia