Banjir kilat landa Kampung Melayu Subang, Jambatan Jalan Jati ditutup akibat hakisan

SELANGOR: Hujan lebat selama kira-kira dua jam menyebabkan banjir kilat di Kampung Melayu Subang pada Sabtu, manakala Jambatan Jalan Jati yang merentasi Sungai Damansara ditutup kepada semua kenderaan akibat hakisan di tebing sungai.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata banjir kilat itu berpunca daripada limpahan sistem perparitan dan bukan disebabkan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada hari yang sama.
"Hujan lebat petang ini menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung isi padu air, namun paras air di kawasan terjejas kini dilaporkan beransur surut," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor memaklumkan Jambatan Jalan Jati di Seksyen U6, Kampung Melayu Subang, ditutup kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan berikutan hakisan teruk pada struktur penupang jambatan.
Menurut JKR, hakisan dan runtuhan benteng itu berlaku selepas paras air meningkat dan arus deras di Sungai Damansara akibat hujan berterusan.
Pelan Pengurusan Trafik telah dilaksanakan untuk mengawal pergerakan kenderaan. Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Lorong Cempaka dan mematuhi papan tanda lencongan di lokasi.
JKR turut memaklumkan kerja pembaikan sementara akan dijalankan di kawasan terjejas, tertakluk kepada keselamatan tapak dan bekalan bahan dari kuari, memandangkan kerja itu berlangsung ketika musim cuti umum.
Bagi jangka panjang, jabatan itu akan memohon peruntukan untuk membaiki secara kekal struktur penupang jambatan serta mengukuhkan tebing Sungai Damansara bagi memastikan kestabilan jambatan.
Foto: Tuxyso / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




