Hospital Seberang Jaya hospital daerah pertama di Semenanjung tawar angioplasti koronari

BUTTERWORTH: Empat pesakit menjalani prosedur angioplasti koronari di Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada Rabu, hari pertama perkhidmatan rawatan jantung baharunya diperkenalkan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka antara lapan pesakit yang dirawat pada hari itu, sekali gus menjadikan HSJ hospital daerah pertama di Semenanjung Malaysia yang menawarkan perkhidmatan angiogram dan angioplasti koronari untuk pesakit dewasa.
"Ini pencapaian bersejarah bagi sistem kesihatan awam negara," katanya dalam hantaran di media sosial pada Khamis.
Hospital itu kini dilengkapi Makmal Kardiologi Invasif yang menempatkan sistem angiografi moden dan peralatan elektrofisiologi, selain lima katil Unit Rawatan Koronari (CCU) dan 15 katil Wad Pemulihan Koronari (CRW).
Dzulkefly berkata, perluasan perkhidmatan itu akan memendekkan masa menunggu dan mengurangkan keperluan rujukan ke Hospital Pulau Pinang.
"Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk membangunkan HSJ sebagai pusat rujukan kardiovaskular utama bagi wilayah utara, dengan perancangan memperluas kapasitinya bagi menangani kes kardiologi kompleks dan pembedahan kardiotorasik menjelang pertengahan 2027," katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pakar kardiologi, jururawat dan kakitangan hospital itu, serta berterima kasih kepada Perdana Menteri atas sokongan Kerajaan Madani dalam membawa rawatan jantung yang lebih pantas dan berkualiti lebih dekat kepada rakyat.




