Moratorium eksport nadir bumi mentah dilonggarkan untuk aktiviti R&D – Johari

KUALA LUMPUR: Malaysia bersetuju melonggarkan moratorium eksport nadir bumi mentah dengan syarat ketat bagi menarik pelabur dan menggalakkan pembangunan kemudahan pemprosesan di dalam negara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, kelonggaran itu terhad kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sahaja, dan syarikat terlibat perlu menunjukkan komitmen jelas untuk membangunkan kemudahan pemprosesan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kelulusan eksport nadir bumi mentah.
Menurut Johari, langkah itu perlu kerana bakal pelabur masih enggan memasuki industri unsur nadir bumi (REE) negara tanpa jaminan bekalan bahan mentah domestik yang stabil.
"Bagi menarik bakal pelabur REE ini, kerajaan bersetuju memberi fleksibiliti di bawah moratorium sedia ada ke atas eksport REE mentah menerusi Garis Panduan Pertimbangan Permohonan Eksport Nadir Bumi Mentah," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Jawapan itu diberikan kepada Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang bertanya pendirian kerajaan berhubung perjanjian bekalan oksida nadir bumi bernilai AS$96 juta (RM388 juta) antara Lynas Rare Earths Ltd dari Australia dengan Pentagon.
Johari berkata, Lynas Malaysia memaklumkan bahawa perjanjian itu merupakan urusan komersial yang dikendalikan terus oleh anak syarikatnya, Lynas LLC USA, bersama pihak berkuasa Amerika Syarikat. Syarikat itu turut memaklumkan oksida nadir bumi yang dibekalkan adalah untuk R&D industri magnet kekal yang sedang diterokai di negara tersebut.
Beliau menjelaskan, Lynas Malaysia beroperasi pada peringkat awal pemprosesan, iaitu mengasingkan bahan nadir bumi mentah yang dilombong di Australia kepada oksida nadir bumi untuk pengeluar logam di luar negara. Bahan itu kemudian dibekalkan kepada pengeluar magnet yang produk siapnya digunakan dalam motor elektrik dan barangan perkilangan lain.
Menurut Johari, operasi Lynas Malaysia mematuhi dasar kerajaan sedia ada, termasuk keperluan pelesenan dan kelulusan penilaian kesan alam sekitar.
Kementerian, katanya, mengutamakan pelaburan dalam segmen pertengahan dan hiliran industri REE bagi memaksimumkan nilai ekonomi sumber mineral negara, khususnya dalam pembuatan berteknologi tinggi seperti magnet kekal, bahan termaju, komponen elektronik dan bateri.
"Malaysia perlu memanfaatkan kerjasama strategik dan pemindahan teknologi daripada rakan domestik dan antarabangsa, termasuk negara berpengalaman dalam pemprosesan REE, bagi merealisasikan aspirasi membangunkan industri ini," katanya.
Johari menambah, usaha itu akan memperkukuh keupayaan dalam negara merentasi keseluruhan rantaian nilai, daripada aktiviti perlombongan hingga pembuatan produk siap, selain meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan mineral kritikal global.
Foto: Abdul Razak Latif / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




