Lawatan luar negara bawa pulang pelaburan berpotensi RM59.5 bilion – Johari

KUALA LUMPUR: Malaysia memperoleh pelaburan berpotensi bernilai RM59.5 bilion menerusi 14 lawatan rasmi luar negara dan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) antara 2025 hingga September tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata sebanyak RM14.2 bilion pelaburan telah diluluskan, manakala baki RM45.3 bilion masih di pelbagai peringkat rundingan dan tindakan susulan.
Misi tersebut diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
"Bagi perincian pelaburan yang direalisasikan, sesuatu projek lazimnya mengambil masa antara 18 hingga 24 bulan untuk menjadi kenyataan bergantung kepada skala dan kerumitannya serta keadaan ekonomi semasa," katanya dalam jawapan Parlimen bertulis pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) mengenai jumlah nilai pelaburan berpotensi dan nilai perdagangan sebenar yang diperoleh menerusi siri lawatan rasmi luar negara dari 2025 hingga September 2026.
Johari berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meneruskan usaha susulan, pemantauan dan fasilitasi bagi memastikan peluang pelaburan yang dikenal pasti diterjemahkan kepada projek sebenar di negara ini.
Dari segi perdagangan, beliau berkata lawatan rasmi ke negara seperti Kenya, Brazil, United Kingdom, Turkiye, Jepun, Itali, Perancis, Korea Selatan, China, Thailand, India dan Rusia membuahkan hasil positif dengan eksport bernilai RM6.77 bilion menerusi pertemuan peringkat tinggi.
Pasaran yang mencatat pertumbuhan dua digit termasuk Namibia (naik 426.1 peratus), Angola (55.6 peratus), Brazil (41.0 peratus), Tanzania (35.9 peratus), Ethiopia (28.5 peratus) dan Kenya (11.6 peratus).
Tambah Johari, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) turut terus mempelbagaikan usaha promosi eksport ke pasaran baharu di Asia Tengah, Afrika dan Amerika Latin. Dari Januari hingga September, ketiga-tiga rantau itu mencatat peningkatan eksport 23.06 peratus kepada RM69.84 bilion.
Foto: Abdul Razak Latif / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




