Penipuan kewangan rugikan 18,213 mangsa RM1.23 bilion sejak 2016 – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Penipuan kewangan menyebabkan kerugian berjumlah RM1.23 bilion membabitkan 18,213 mangsa antara 2016 hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut beliau, berdasarkan rekod polis, sebanyak 1,754 pertuduhan telah dikemukakan berhubung kesalahan berkenaan dalam tempoh sama.
Saifuddin berkata, sejumlah RM14.01 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa sejak Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) mula beroperasi pada 12 Oktober 2022 sehingga Ogos lalu.
"Antara Januari dan Ogos tahun ini sahaja, RM9.14 juta telah dirampas, dengan RM6.67 juta daripadanya dipulangkan kepada mangsa," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta butiran jumlah mangsa penipuan kewangan, nilai kerugian dan tindakan pendakwaan yang diambil setiap tahun sejak 2016.
Kerajaan, kata Saifuddin, terus memperkukuh operasi NSRC melalui talian bantuan 24 jam, 997. Polis juga mempergiat siasatan berasaskan risikan dan analisis forensik kewangan, termasuk menjejak aliran wang, membongkar rangkaian akaun keldai serta menjalankan operasi bersepadu dan tangkapan bersasar terhadap sindiket penipuan.
Penguatkuasaan turut dipertingkat menerusi pelaksanaan Seksyen 424A hingga 424D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan melibatkan penggunaan akaun dan instrumen pembayaran untuk tujuan jenayah.
"Kerajaan juga terus memperkukuh kerjasama strategik antara polis, institusi kewangan, syarikat telekomunikasi serta agensi penguat kuasa dalam dan luar negara melalui perkongsian maklumat, operasi bersepadu dan sokongan teknikal bagi meningkatkan keupayaan mencegah, mengesan, menyiasat dan mendakwa sindiket penipuan," katanya.
Dari sudut pencegahan, kerajaan menggiatkan promosi penggunaan Portal SemakMule yang mencatatkan lebih 77 juta pengunjung setakat September 2026. Saifuddin berkata angka itu menunjukkan kesedaran orang ramai yang semakin meningkat tentang kepentingan membuat semakan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penipuan dalam talian.
Memandangkan sindiket penipuan dalam talian beroperasi merentasi sempadan, kerajaan turut memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui platform dan rangkaian yang membabitkan Interpol, Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) dan Program Kerjasama Jenayah Siber Asean (ACCP).
Kementerian, menerusi polis, turut bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pusat Antijenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) serta pemain industri berkaitan bagi membendung penyalahgunaan sistem kewangan, rangkaian telekomunikasi dan platform digital.




