MCMC uji liputan internet sepanjang laluan ECRL sebelum dilancar 12 Disember

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan ujian kelajuan internet sepanjang laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi mengenal pasti kawasan yang memerlukan liputan lebih baik sebelum perkhidmatan itu dilancarkan pada 12 Disember ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata ujian menggunakan sistem MCMC Nexus itu meliputi laluan dari Gombak ke Kota Bharu, termasuk 16 stesen dan kawasan di dalam terowong.
"MCMC bukan sahaja menjalankan ujian kelajuan internet sepanjang perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu, malah di 16 stesen ECRL. Melalui ujian ini, kita dapat mengenal pasti kawasan yang masih 'greenfield', iaitu langsung tiada liputan, serta lokasi 'brownfield' yang mempunyai liputan tetapi belum mencukupi, termasuk di dalam terowong, supaya tindakan susulan dapat diambil," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Stesen ECRL Kuala Terengganu ketika lawatan kerja ke negeri ini dari hari ini hingga esok. Turut hadir Pengarah Kanan pejabat wilayah timur MCMC, Mohd Fairus Mohamad, dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Menurut Teo, Maxis Bhd yang dilantik MRL sebagai penyedia infrastruktur rangkaian mudah alih 4G di sepanjang laluan ECRL telah membentangkan pelan pelaksanaan projek merangkumi penyediaan infrastruktur telekomunikasi dan naik taraf peralatan rangkaian.
Kerja-kerja itu dijadualkan bermula selepas proses serahan tapak daripada kontraktor pembinaan, China Communications Construction Company, kepada MRL selesai pada Jumaat (6 November).
Teo menegaskan bahawa pengembangan liputan internet memerlukan masa dan MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan serta MRL untuk menangani kawasan yang masih menghadapi masalah sambungan.
Sebelum itu, Teo bersama delegasi MCMC dan Darwis menyertai larian ujian kereta api ECRL dari Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL Kuala Terengganu yang mengambil masa kira-kira tiga jam. Dalam larian itu, beliau mendengar pembentangan MCMC mengenai keputusan ujian kelajuan internet di dalam kereta api.
Perjalanan sejauh 378 kilometer itu sebahagian daripada Fasa 1 laluan ECRL yang menghubungkan Gombak ke Kota Bharu sepanjang 519 kilometer melalui 16 stesen. Perkhidmatan yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur itu akan menggunakan 11 set kereta api elektrik (EMU), setiap satu berkapasiti sehingga 425 penumpang dengan kelajuan maksimum 160 kilometer sejam.




