Khamis, 5 November 2026
TERKINI

Dua wanita ditahan, gaharu bernilai RM3.47 juta dirampas di Pasir Mas

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 197 batang kayu dan 310.8 kilogram serpihan gaharu dengan anggaran nilai keseluruhan RM3.47 juta dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Chicha Tinggi, Pasir Mas, Rabu lalu.

Serbuan kira-kira jam 5 petang itu dilakukan Batalion 7 PGA dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Kelantan. Dua wanita berusia 19 dan 54 tahun ditahan kerana dipercayai terlibat menyimpan hasil hutan tanpa lesen atau permit sah.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata pemeriksaan di rumah itu menemui kayu pelbagai saiz dan serpihan yang disyaki gaharu. Pemeriksaan lanjut di sebuah stor dan sebuah kilang terbiar bersebelahan turut menemui bahan serupa.

Pasukan itu turut merampas tujuh tong plastik dan 11 dokumen yang diragui kesahihannya berkaitan pemilikan hasil hutan tersebut.

"Jumlah nilai rampasan dianggarkan RM3,471,400, terdiri daripada 197 batang kayu bernilai RM985,000 dan 310.8 kilogram serpihan kayu bernilai RM2,486,400," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati premis itu dipercayai beroperasi sejak 2000 dan pernah memegang lesen mengutip gaharu atas nama sebuah syarikat, tetapi lesen itu dibatalkan Jabatan Perhutanan pada 2016.

Bahan itu dipercayai diperoleh daripada kawasan hutan dan tanah milik persendirian di seluruh Kelantan. Pemilik asal kilang tersebut meninggal dunia pada 6 September, dan penyimpanan hasil hutan itu kemudian diambil alih ahli keluarganya.

Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

TopikPasukan Gerakan AmgaharuPasir MasKelantan

Berita berkaitan