Jumaat, 6 November 2026
TERKINI
Malaysia berisiko jadi hab transit sindiket dadah antarabangsa – SaifuddinMoratorium eksport nadir bumi mentah dilonggarkan untuk aktiviti R&D – Johari14 warga China disyaki terlibat penipuan dalam talian ditahan dalam serbuan di SandakanLebih 80 peratus pemandu teksi dan kereta sewa terima bantuan RM1,000 sebelum Deepavali – APADPRN Sarawak: PBB beri mandat penuh kepada Abang Johari tentukan calon GPSMahkamah Rayuan: Bank boleh guna penyata dijana komputer untuk tuntut semula pinjamanPRN Sarawak 12 Disember, penamaan calon 28 November – SPRMetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di lima negeri hingga tengah hariDua remaja maut dalam kemalangan motosikal di Mersing dan CyberjayaJawatan Ketua Menteri bukan galakan untuk saya kekal berpolitik – Ab Rauf

Speaker beri Zahid sehingga 12 November jelaskan dakwaan mengelirukan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan penjelasan, bersama sebarang bukti atau dokumen sokongan, selambat-lambatnya pada 12 November berhubung dakwaan bahawa beliau mengelirukan Dewan.

Permintaan itu dinyatakan dalam surat bertarikh 4 November yang dikongsi kepada media pada Khamis.

Johari berkata, langkah itu susulan usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin (PH), yang memohon Ahmad Zahid dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12).

"Dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, telah mengemukakan usul bertarikh 3 November 2026, memohon tuan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Salinan surat Ahli Parlimen Kampar itu disertakan bersama untuk perhatian tuan. Sehubungan itu, tuan dipohon memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan mengemukakan sebarang dokumen yang menyokong penjelasan itu pada Khamis, 12 November 2026, selewat-lewatnya," katanya dalam surat itu.

Isu tersebut tercetus berikutan dakwaan wujudnya kenyataan yang bercanggah antara Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai pengagihan semula peruntukan projek pembangunan luar bandar.

Pada 2 November, Chong membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat. Beliau mendakwa Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan tiada projek yang dikorbankan bagi membiayai inisiatif lain melalui Notis Perubahan (NOC).

Bagaimanapun, menurut Chong, dakwaan itu bercanggah dengan penjelasan Amir Hamzah bahawa peruntukan tambahan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) telah menyebabkan pembiayaan bagi program lain dikurangkan.

Johari kemudian menasihatkan Chong supaya mengemukakan usul rasmi sekiranya mahu meneruskan perkara itu dan memohon Ahmad Zahid dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

TopikAhmad Zahid HamidiJohari AbdulDewan RakyatChong ZheminJawatankuasa Hak dan Kebebasan

Berita berkaitan