Keganasan rumah tangga isu keselamatan, bukan urusan keluarga semata-mata – Nancy

KUALA LUMPUR: Keganasan rumah tangga tidak wajar dianggap urusan peribadi keluarga, sebaliknya isu keselamatan dan pelanggaran hak asasi manusia yang memerlukan tindakan diselaraskan dan sistematik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata kementeriannya komited memperkukuh usaha pencegahan, perlindungan, intervensi awal dan pemulihan berkaitan keganasan rumah tangga melalui kerjasama strategik.
"Ia bukan sahaja merangkumi penderaan fizikal, malah penderaan emosi dan psikologi, keganasan seksual, ugutan, kawalan kewangan serta ancaman yang melibatkan penyalahgunaan teknologi digital," katanya pada simposium "Memperkukuh Dasar Menangani Realiti Keganasan Rumah Tangga: Mendepani Cabaran dan Memperkasa Institusi Keluarga" di sini hari ini.
Simposium itu diadakan dalam dua siri. Siri pertama berlangsung di sini sehingga Jumaat, manakala siri kedua dijadual pertengahan November di Kelantan. Ia menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, penyelidik dan mangsa yang selamat untuk berkongsi pengalaman serta pandangan.
Nancy berkata maklum balas yang dikumpulkan akan dianalisis dan disatukan menjadi pelan hala tuju serta resolusi bagi memperkukuh dasar, sistem sokongan dan mekanisme perlindungan mangsa.
Menurutnya, menangani keganasan rumah tangga memerlukan tanggungjawab bersama dan kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, NGO serta masyarakat supaya semua orang dapat hidup dengan selamat dan bermaruah.
Antara inisiatif kementerian ialah pelaksanaan Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) 2026-30, di samping program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), termasuk program Wonderful Life, Program Advokasi Kesejahteraan Wanita @ Keganasan Rumah Tangga dan program sukarelawan Skuad Waja.
Kementerian turut menyediakan khidmat kaunseling dan intervensi psikososial melalui kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, manakala Yayasan Kebajikan Negara mengendalikan pusat sehenti sokongan sosial. Usaha itu turut menjangkau golongan lelaki menerusi Modul Kebapaan: Memimpin Keluarga dan kajian Lelaki Budiman oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Menurut statistik polis, sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan tahun lalu, meningkat 3.9 peratus berbanding 7,116 kes pada 2024. Tahun ini, 5,862 kes dilaporkan sehingga September.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian Talian Kasih 15999 yang beroperasi sepanjang masa, atau menghantar mesej WhatsApp ke 019-261 5999.
Foto: Ralf Roletschek / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




