Khamis, 5 November 2026
TERKINI

Perbezaan pandangan antara kementerian tidak bermakna kerajaan berpecah – Anwar

KUALA LUMPUR: Perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak semestinya mencerminkan perpecahan dalam kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, perbezaan itu sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan setiap kementerian. Proses itu bertujuan memastikan agenda kerajaan Madani dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Kerajaan akan sentiasa memastikan penyelarasan antara kementerian dilaksanakan secara teratur bagi menjamin keselarasan dasar dan mengelakkan pertindihan fungsi.

"Kerajaan juga memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara dan keupayaan kewangan kerajaan," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Khamis.

Anwar menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanya sama ada perselisihan terbuka antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menunjukkan wujud perpecahan dalam kerajaan, serta siapa yang menentukan pendirian rasmi kerajaan.

Isu itu timbul berikutan percanggahan sebanyak RM2.1 bilion antara peruntukan asal dengan perbelanjaan sebenar Program Jalan Luar Bandar (JALB) dari 2023 hingga 2025. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata percanggahan itu tidak bermakna wang hilang atau disalahgunakan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu menjelaskan percanggahan tersebut timbul kerana perbelanjaan sebenar RM6.108 bilion dibandingkan dengan peruntukan asal RM3.982 bilion, tanpa mengambil kira peruntukan yang telah disemak semula.

Dalam jawapan sama, Anwar berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau menggunakan data dan petunjuk ekonomi terkini bagi menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

"Bagi memastikan tadbir urus yang berkesan, setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan dan penyelarasan yang sewajarnya.

"Perkara yang memerlukan keputusan kolektif akan dibawa ke Kabinet untuk dipertimbangkan dan diluluskan, selaras dengan prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet," katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan terus mengukuhkan kerjasama antara kementerian, meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan memantau kemajuan setiap inisiatif supaya keputusan yang dibuat menghasilkan manfaat nyata dan mampan kepada rakyat.

TopikAnwar IbrahimKabinetDewan RakyatProgram Jalan Luar BandarKementerian Kewangan

Foto: Firdaus Latif / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)

Berita berkaitan