Perjanjian penstrukturan semula pinjaman paip kurangkan kerugian kepada RM3 bilion – Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menyelamatkan RM5 bilion daripada dua projek saluran paip yang gagal melalui perjanjian penstrukturan semula pinjaman dengan China, sekali gus mengurangkan potensi kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perjanjian yang ditandatangani pada 30 Oktober itu membolehkan pinjaman RM5 bilion yang asalnya diperuntukkan bagi Projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dialihkan kepada Skim Bekalan Air Utara Perak-Pulau Pinang (NPWSS).
“Tanpa perjanjian ini, kerajaan akan menanggung kerugian sehingga RM8 bilion, dengan mengambil kira kewajipan membayar balik pinjaman bagi TSGP dan MPP yang tidak pernah siap dan tidak memberikan sebarang manfaat. Perjanjian penstrukturan semula ini mengurangkan kerugian negara kepada RM3 bilion kerana kita memperoleh semula nilai RM5 bilion melalui pembiayaan projek NPWSS yang baharu,” katanya.
Anwar menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) di Dewan Rakyat mengenai langkah menuntut semula RM8.3 bilion yang dibayar kepada kontraktor walaupun kedua-dua projek hanya mencatat kemajuan 13 peratus.
Menurut Perdana Menteri, kerugian RM3 bilion itu berpunca sebahagiannya daripada pampasan yang dibayar kepada kontraktor bagi kerja awalan dan kos lain yang telah ditanggung.
Kedua-dua projek diluluskan pada 2016 oleh pentadbiran terdahulu dan dianugerahkan melalui rundingan terus kepada China Petroleum Pipeline Bureau dengan nilai keseluruhan RM9.4 bilion. MPP melibatkan saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer bernilai RM5.35 bilion, manakala TSGP ialah saluran paip gas sepanjang 680 kilometer di Sabah bernilai RM4.06 bilion.
Kedua-dua projek dibiayai melalui pinjaman Export-Import Bank of China (China EximBank) yang meliputi 85 peratus nilainya dan dijamin Kerajaan Persekutuan.
Anwar berkata, punca utama kerugian ialah pembayaran dibuat mengikut jadual yang ditetapkan lebih awal dan bukannya berdasarkan kemajuan sebenar pembinaan. Menjelang 2018, kira-kira RM8.3 bilion atau 88 peratus nilai kontrak telah dibayar, sedangkan kemajuan yang dilaporkan hanya 13 peratus.
“Ini kegagalan tadbir urus yang sangat serius. Hampir seluruh nilai kontrak dibayar sebelum kemajuan pembinaan disahkan. Dana awam hilang dan projek tidak pernah dilaksanakan,” katanya. Kedua-dua kontrak ditamatkan pada 2018.
Beliau memaklumkan, usaha menyelesaikan perkara itu pada zaman tiga pentadbiran sebelum ini tidak berjaya.
Di bawah perjanjian terkini, RM5 bilion yang dialihkan itu akan membiayai infrastruktur air untuk utara Perak dan Pulau Pinang, termasuk loji rawatan dan kemudahan pengairan. Pembinaannya akan dilaksanakan kontraktor tempatan dengan langkah tadbir urus dan pemantauan yang lebih ketat bagi mengelakkan kegagalan serupa.
“Kerajaan Madani memikul tanggungjawab menyelesaikan masalah yang diwarisi dan melindungi kepentingan negara,” katanya.




