Khamis, 5 November 2026
TERKINI

Bazar Deepavali kekal pilihan walaupun jualan dalam talian semakin popular

SEREMBAN: Bazar Deepavali terus menjadi tumpuan masyarakat India menjelang sambutan Pesta Cahaya pada Ahad ini (8 November), walaupun trend beli-belah dalam talian semakin mendapat perhatian pengguna.

Tinjauan di Karnival Bazar Deepavali di Jalan Dato Lee Fong Yee, yang dikenali sebagai Little India Seremban, mendapati pengunjung masih membanjiri bazar untuk mendapatkan pelbagai keperluan perayaan seperti pakaian tradisional, jajan dan perhiasan rumah.

Peniaga pakaian tradisional India, N. Leena, 37, berkata harga pakaian yang sebelum ini boleh mencecah RM250 hingga RM300 kini ditawarkan sekitar RM150 hingga RM180, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.

"Ramai anak muda sekarang lebih suka membeli-belah dalam talian, tetapi masih ada pelanggan yang memilih membeli pakaian di bazar kerana mahu melihat, mencuba dan menilai sendiri bahan kainnya," katanya.

Peniaga barang kemas dan keperluan sembahyang, V. Preeya, 39, pula berkata kedainya menawarkan pelbagai barangan dengan diskaun sehingga 50 peratus sempena karnival itu.

Preeya, yang sudah tujuh tahun berniaga di lokasi berkenaan, berkata kedai fizikal masih menjadi pilihan masyarakat India, terutama warga emas, walaupun jualan dalam talian mendapat perhatian.

"Setiap tahun kami berniaga di sini dengan menawarkan pelbagai barangan dan promosi istimewa. Walaupun ada persaingan jualan dalam talian, golongan tua masih lebih gemar datang ke kedai untuk membeli-belah," katanya.

Bagi artis henna, M. Bvithra, 30, permintaan terhadap perkhidmatan lukisan henna meningkat menjelang Deepavali dengan tempahan dua kali ganda daripada biasa.

Bvithra yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang itu berkata pelanggan, termasuk masyarakat Melayu, turut mendapatkan perkhidmatan tersebut di kedainya dengan harga bermula RM5 hingga RM8 dan ke atas, bergantung pada reka bentuk.

"Biasanya pelanggan bertambah dua hari sebelum Deepavali kerana kebanyakan mereka datang menghias tangan dengan corak henna. Ketika itu memang agak sibuk kerana pelanggan datang berturut-turut dan ada yang menempah awal untuk memastikan giliran mereka," katanya.

Sementara itu, Penasihat Khas Hal Ehwal Masyarakat India Negeri Sembilan, Datuk VS Mogan, berkata lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang karnival 10 hari itu.

Bazar tersebut menampilkan 140 peniaga yang menjual pelbagai barangan termasuk pakaian, manisan tradisional dan keperluan perayaan.

TopikDeepavaliSerembanNegeri SembilanBazar

Berita berkaitan