KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, digesa untuk mengikuti jejak langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dalam memutuskan nasib enam kerusi Parlimen yang disandang oleh wakil dari Bersatu yang telah terhenti keahlian dalam parti.
Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyatakan bahawa langkah yang sama patut diambil oleh Speaker Dun Selangor, Lau Weng San, untuk mengisytiharkan kekosongan di kerusi Dun Selat Klang.
“Adalah penting agar hak rakyat dikembalikan dan mandat baharu ditentukan oleh rakyat semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Speaker Dun Kelantan, mengumumkan kerusi Dun Nenggiri dikosongkan dengan serta-merta.
Keputusan itu diambil setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai status Mohd Azizi Abu Naim yang terhenti keahlian dalam parti.
Enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu telah digugurkan keahlian selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti tersebut.
Ahli Parlimen yang terlibat termasuklah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), serta ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.
Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ahli Parlimen Machang, mengucapkan tahniah kepada Mohd Amar atas pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Nenggiri, yang membuka jalan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.
“Tindakan ini selaras dengan kehendak rakyat dan menghormati matlamat demokrasi di sebalik Undang-Undang Larangan Bertukar Parti yang telah diluluskan sebulat suara oleh Parlimen pada tahun 2022,” katanya.