KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 individu termasuk empat kakitangan bank telah ditahan bagi membantu siasatan ke atas kes kehilangan wang sejumlah RM24.2 juta dari beberapa akaun simpanan tetap sebuah bank terkemuka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohamed Ramli Yoosuf, mengesahkan bahawa daripada jumlah individu yang ditahan itu, lapan lelaki dan lima wanita berusia di antara 22 hingga 53 tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa sebanyak 12 individu ditahan di Sabah manakala seorang lagi ditahan di Perlis.

Antara mereka yang ditahan termasuklah empat kakitangan bank yang disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan tersebut.

“Sebanyak sebelas individu telah direman sehingga Jumaat ini, manakala seorang lagi masih dalam tahanan hingga esok.

Satu individu pula telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramli menambah, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan penipuan.

Kejadian itu dilaporkan bermula pada 16 Jun lepas apabila seorang lelaki yang disyaki sebagai dalang sindiket ditahan di Sabah.

Ini berikut tindakan polis menahan seorang wanita yang juga kakitangan bank di Kota Kinabalu pada 13 Jun sebelum ini.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia