Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) memberi insentif bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bantuan Universiti Luar Negara (ULN) kepada 94 orang anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata, bagi kategori IPTA, 84 pelajar menerima insentif RM1,000 setiap seorang, manakala 10 pelajar menerima insentif RM2,000 setiap seorang.
“Sejak tahun 2001 hingga 2023, YLTAT telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM2,369,000 kepada 2,247 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke IPTA dan Universiti Luar Negara,” katanya.
Penyampaian inisitif ini merupakan sambutan tradisi YLTAT untuk meraikan kecemerlangan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Majlis penyampaian bantuan ini disampaikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Auditorium Wisma Pertahanan hari ini.
Pemberian insentif ini merupakan salah satu komitmen YLTAT dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP), khususnya dalam memastikan hala tuju pendidikan anak-anak warga ATM terjamin menerusi program-program sedia ada yang ditawarkan.
Pengiktirafan ini diharapkan menjadi inspirasi serta menyuntik semangat anak-anak warga ATM yang lain untuk turut mengikut jejak langkah dan dijadikan suri teladan pada masa akan datang.