KUALA LUMPUR: Tiga guru tadika bersama seorang pembantu tadika dari Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak, iaitu Nur Hanis Azwani Ghazali, 24 tahun, Hafsah Ab Razak, 33 tahun, Nur Diyana Zainudin, 24 tahun, dan Jamia Abd Rahman, 41 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Memetik laporan terbitan Astro Awani, mereka dituduh mengabaikan dan menganiaya dua kanak-kanak di bawah jagaan mereka sejak Mac lalu.
Pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan pada dua prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd Rahman. Mereka didakwa mendedahkan serta mengabaikan dua kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan dua daripada tertuduh, Jamia dan Nur Hanis Azwani, diikat jamin sebanyak RM7,000 masing-masing dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Julai.
Manakala dua tertuduh yang lain dikenakan jaminan RM10,000 setiap seorang dan sebutan semula kes pada 24 Julai. Mahkamah turut mengarahkan mereka untuk melapor diri setiap bulan di balai polis dan untuk tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Asnini Kamarudin, serta dihadiri oleh peguam pemerhati keluarga mangsa, Mohamed Ashmeer Mohamad Ashrof.