Kenapa tunggu untuk laksana pelan induk India, soal Ahli Parlimen DAP kepada Zahid

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer, mempersoalkan mengapa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu menunggu untuk melaksanakan pelan induk memperkasa masyarakat India, sedangkan beliau berada dalam kedudukan untuk melakukannya.
Menurut Rayer, jika Zahid benar-benar percaya pelan induk itu wajar dihidupkan semula dan diperbaiki, Timbalan Perdana Menteri itu seharusnya membangkitkannya di peringkat Kabinet dan bekerjasama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merealisasikannya.
"Adakah beliau perlu menunggu BN kembali berkuasa di Putrajaya sebelum dapat memenuhi aspirasi masyarakat India Malaysia? Sebagai timbalan perdana menteri, beliau berada dalam kedudukan untuk menyokong inisiatif ini," katanya dalam satu kenyataan.
Rayer berkata masyarakat India tidak memerlukan satu lagi pusingan pengumuman, janji dan perisytiharan besar di perhimpunan parti, sebaliknya "tindakan konkrit, pembiayaan yang sewajarnya, sasaran pelaksanaan yang jelas dan hasil yang boleh diukur".
"Masyarakat India tidak boleh dilayan sebagai penonton yang dipujuk dengan janji setiap kali sesebuah parti mengadakan perhimpunan agung," katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan ucapan Zahid pada Perhimpunan Agung MIC hari ini, apabila beliau menyatakan BN akan menyediakan pelan induk baharu untuk memperkasa masyarakat India.
Zahid, yang juga Pengerusi BN, berkata semakan semula pelan induk semasa adalah tepat pada masanya kerana tahun depan menandakan ulang tahun ke-10 pelancarannya oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak. Pelan itu menyenaraikan penyelesaian kepada beberapa isu yang menjejaskan masyarakat berkenaan, antaranya pendidikan dan keterangkuman sosial yang lebih baik.




