Ahad, 29 November 2026
TERKINI
Ujian MySiren serentak seluruh negara bermula, pengguna mula terima notifikasi kecemasanBekalan minyak masak paket tidak terjejas walaupun 211 syarikat dinyahaktif daripada eCOSSPenganalisis: Kesetiaan GPS tidak terjamin kepada parti yang tidak bertanding PRN SarawakDua bekas pramugari beralih ke landasan, jadi kru ECRL sebelum perkhidmatan ke Kelantan 12 DisemberMenara T313 runtuh walaupun kerja perlindungan tebing dibuat Mac, kata Sabah ElectricityKerajaan kaji gantikan pencen Ahli Parlimen dengan caruman KWSPBajet 2027 diluluskan Dewan Rakyat menerusi undi suaraMCA desak KPM jelaskan pendirian sebenar kemasukan wajib Tahun Satu pada usia enam tahunLebih 800 mangsa banjir dipindahkan di Sabah, Beaufort catat bilangan tertinggiKenapa tunggu untuk laksana pelan induk India, soal Ahli Parlimen DAP kepada Zahid

Michelle Yeoh, Lee Chong Wei, Siti Nurhaliza barisi perarakan I LITE YOU 2.0

PETALING JAYA: Pelakon pemenang Oscar Tan Sri Michelle Yeoh dan legenda badminton Datuk Wira Lee Chong Wei akan mengetuai perarakan Tahun Baharu di Bukit Bintang yang bakal berlangsung, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Mereka akan disertai penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, ikon skuasy Datuk Nicol Ann David dan pelari menara Soh Wai Ching dalam Perarakan Tahun Baharu I LITE YOU 2.0 pada 2 Januari 2027.

Bertemakan "70 Tahun Kegemilangan Malaysia", perarakan itu diadakan di hadapan Pavilion Kuala Lumpur dan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nga mengumumkan barisan bintang itu selepas bertemu Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt, yang juga suami Yeoh dan bekas presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Dalam pertemuan itu, Nga dan Todt, yang pernah bertemu pada Forum Sifar Sisa Global di Istanbul, Turkiye, pada Oktober tahun lalu, membincangkan usaha mengurangkan kemalangan jalan raya melalui perancangan bandar dan reka bentuk bangunan yang lebih baik.

Nga berkata, perarakan itu bertujuan meraikan pencapaian Malaysia sambil memacu momentum kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

"Kita mahu rakyat Malaysia bersatu meraikan apa yang telah dicapai sebagai sebuah negara. Perarakan ini juga peluang berkongsi kemeriahan itu dengan dunia dan membina momentum untuk Tahun Melawat Malaysia menjelang 2027," katanya.

Dijangka menarik lebih 100,000 penonton, acara itu akan disiarkan secara langsung di televisyen bagi memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada khalayak global.

Acara I LITE U yang julung kali diadakan pada 3 Januari tahun ini, turut menampilkan Yeoh, menandakan permulaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan meraih lebih 100 juta tontonan dalam talian.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membina atas kejayaan itu dengan bekerjasama dengan agensi lain untuk menghimpunkan ikon negara dan rakyat Malaysia cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Kami mahu menunjukkan kepada dunia apa yang menjadikan budaya kita yang pelbagai ini unik serta tekad yang mendorong rakyat Malaysia cemerlang di pentas dunia," kata Nga.

Beliau menjemput rakyat Malaysia pelbagai peringkat umur membawa keluarga dan rakan ke Bukit Bintang untuk menyambut tahun baharu.

TopikMichelle YeohLee Chong WeiSiti NurhalizaNga Kor MingBukit Bintang

Foto: Harald Krichel / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan