Kerajaan kekal dasar rangkaian 5G dwi, satu rangkaian jadi sandaran jika gangguan – Fahmi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengekalkan dasar rangkaian 5G dwi kerana ia membolehkan satu rangkaian menjadi sandaran sekiranya rangkaian yang lain mengalami gangguan, kata Fahmi Fadzil.
Beliau berkata dasar itu bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna untuk berhubung secara selamat menggunakan teknologi daripada penyedia pilihan mereka, malah membolehkan satu rangkaian bertindak sebagai sandaran kepada rangkaian satu lagi.
"Jika berlaku apa-apa pada satu rangkaian, rangkaian kedua boleh diaktifkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan acara keselamatan siber Nexsec 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Fahmi berkata beliau telah meminta kedua-dua pengendali rangkaian membincangkan cara pengguna boleh terus menerima perkhidmatan melalui rangkaian alternatif sekiranya berlaku gangguan.
Digital Nasional Bhd (DNB) menggunakan peralatan Ericsson, manakala U Mobile menggunakan teknologi Huawei dan ZTE.
Masa depan dasar rangkaian 5G dwi negara menjadi perhatian susulan rancangan perubahan struktur pemilikan DNB. Kerajaan dijangka tidak lagi menjadi pemegang saham utama, manakala CelcomDigi, Maxis dan YTL Power bakal memperoleh kawalan lebih besar.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penganalisis sama ada kepelbagaian teknologi kedua-dua rangkaian dapat dikekalkan, terutama jika keputusan perolehan pada masa depan menyebabkan kedua-duanya menggunakan teknologi yang serupa.
Pada 12 November, EuroCham Malaysia menyatakan kejelasan dan konsistensi dalam dasar 5G negara boleh meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk membuat keputusan perniagaan jangka panjang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kati Ferry, berkata pendekatan Malaysia menggunakan teknologi Barat dan China memberi kelebihan daya saing kepada negara, di samping membolehkan syarikat memilih rangkaian yang paling sesuai dengan operasi mereka.
Foto: ShafKass / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




