KKM arah henti guna dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual dan bahan terlarang

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai berhenti menggunakan serta-merta dua produk kosmetik yang didapati mengandungi racun berjadual dan bahan terlarang, termasuk sejenis racun kulat yang berpotensi menjejaskan fungsi hati.
Dalam kenyataan pada Isnin, KKM menyatakan kedua-dua produk itu, iaitu Toporin-Hydra Sensitive Cream yang mengandungi miconazole dan Wan Fu Shuang Lotion yang mengandungi imazalil, tidak dibenarkan dijual di Malaysia.
Menurut kementerian, imazalil, yang juga dikenali sebagai enilconazole, ialah bahan terlarang yang langsung tidak dibenarkan dalam formulasi kosmetik.
“Imazalil ialah bahan aktif racun kulat yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan. Pendedahan kepada bahan ini boleh menyebabkan kerengsaan mata yang serius, manakala pendedahan berulang atau berpanjangan berpotensi menjejaskan fungsi hati,” katanya.
KKM turut menjelaskan miconazole ialah racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik kerana produk yang mengandungi bahan itu dikelaskan sebagai ubat dan wajib didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan.
Ubat yang mengandungi miconazole hanya boleh digunakan atas nasihat dan pengawasan profesional penjagaan kesihatan. Penggunaan tanpa pengawasan yang sewajarnya boleh mengundang pelbagai kesan sampingan, termasuk peningkatan risiko rintangan antimikrob yang kemudiannya boleh mengurangkan keberkesanan ubat dalam merawat jangkitan pada masa depan.
Kementerian mengarahkan semua penjual dan pengedar menghentikan jualan serta pengedaran kedua-dua produk itu dengan segera. KKM mengingatkan bahawa menjual dan mengedar kosmetik tanpa notifikasi merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
Pengguna yang mengalami ketidakselesaan atau kesan buruk selepas menggunakan produk berkenaan dinasihatkan berhenti menggunakannya segera dan mendapatkan nasihat profesional penjagaan kesihatan.




