KKM siasat keracunan makanan di sekolah Kuala Langat, calon SPM diminta jaga kesihatan

KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat insiden keracunan makanan yang menimpa beberapa murid sebuah sekolah di Jenjarom, Kuala Langat.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menasihati semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjaga kesihatan supaya persediaan dan keupayaan mereka menduduki peperiksaan tidak terjejas.
"Saya faham Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM telah menjalankan siasatan dan kita akan segera mendapat jawapan tentang punca kejadian ini," katanya selepas menghadiri satu program di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 3 di sini hari ini.
"Saya sedar tempoh peperiksaan anak-anak kita tidak boleh terganggu. Sungguh malang apabila mereka terpaksa berdepan masalah kesihatan ketika menduduki peperiksaan," katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata hidangan ayam gepuk yang tidak dicairkan dengan sempurna dikenal pasti sebagai punca keracunan itu.
Amirudin berkata, tindakan pantas penolong kanan hal ehwal murid sekolah berkenaan memastikan 11 murid terjejas menerima rawatan dan ubat yang diperlukan.
Foto: Per Meistrup / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




