Malaysia tolak penghentian mendadak bahan api fosil, pilih peralihan berperingkat – Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR: Malaysia memilih penghapusan berperingkat arang batu, minyak dan gas bagi menjamin keselamatan tenaga negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Arthur Joseph Kurup.
"Peralihan daripada bahan api fosil ini mesti dilaksanakan secara adil, bertanggungjawab, teratur dan berperingkat dengan mengambil kira keadaan, keupayaan dan tahap pembangunan negara. Walau bagaimanapun, Malaysia kekal komited terhadap sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050," katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Islahuddin Abas (PN-Mersing) mengenai pendirian Malaysia terhadap gesaan menghentikan penggunaan bahan api fosil.
Sedozen negara Eropah dan negara membangun, dari Perancis hingga Panama dan Kepulauan Solomon, sebelum ini menggesa "peralihan yang jelas daripada bahan api fosil".
Rundingan COP31 berakhir Ahad lalu tanpa persetujuan negara peserta mengenai bahan api fosil, pembiayaan, sains dan teknologi penyingkiran karbon, yang menjadi sebahagian daripada Perjanjian Antalya.
Kurup mengakui perjanjian itu gagal dicapai, tetapi berkata tidak semuanya hilang kerana persetujuan dicapai mengenai beberapa perkara berkaitan pembiayaan iklim dan pelaburan hijau.
Foto: NatFee / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




