MIPP bincang pelawaan Zahid pada 6 Disember, putuskan masa depan dalam PN

KUALA LUMPUR: Pelawaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepada parti-parti India akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat Parti Progresif India Malaysia (MIPP) pada 6 Disember ini.
Presiden MIPP, P Punithan, berkata pelawaan itu akan dipertimbangkan "berpandukan prinsip parti, komitmen sedia ada dan kepentingan jangka panjang masyarakat India Malaysia".
Pelawaan Zahid kepada parti-parti India itu disampaikan dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-80 MIC pada Sabtu. Beliau berkata pintu BN terbuka melalui keahlian terus, dan pihak lain tidak menjanjikan apa-apa kepada masyarakat India. Zahid turut menegaskan keazaman BN memperjuangkan kepentingan masyarakat India Malaysia, terutama generasi muda.
Pada Jun lalu, Punithan mengesahkan MIPP menerima pelawaan untuk menyertai BN, tetapi belum ada keputusan dibuat. Beliau berkata parti itu terbuka untuk menilai semula masa depannya berikutan perkembangan politik, dengan sebarang keputusan hanya dibuat selepas perbincangan jawatankuasa pusat.
MIPP menyertai Perikatan Nasional (PN) pada April 2024. Kemasukannya ketika itu dilihat memperkukuh jangkauan PN kepada pengundi India.




