NGO bimbang separuh kerusi PRN Sarawak mungkin dimenangi tanpa bertanding

KUCHING: Sebuah pertubuhan masyarakat sivil Sarawak menyuarakan kebimbangan bahawa kira-kira separuh daripada 82 kerusi di negeri itu mungkin tidak menyaksikan pertandingan pada pilihan raya negeri akan datang.
Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat, atau ROSE, berkata kebimbangan itu timbul selepas kebanyakan parti nasional, termasuk Barisan Nasional, PAS, Amanah, PKR dan Bersatu, memutuskan untuk tidak bertanding.
Menurut ROSE, hanya gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mengumumkan calon bagi kesemua 82 kerusi. Setakat ini, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menamakan 26 calon, manakala DAP dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) masing-masing 12 calon.
"Anggaran awal menunjukkan hanya sekitar 38 kerusi mungkin dipertandingkan. Ini bermakna sehingga 44 kerusi berpotensi dimenangi tanpa bertanding," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. ROSE menambah angka sebenar hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, Sabtu ini.
Pertubuhan itu mengakui parti politik berhak memutuskan sama ada mahu bertanding atau menjalin pakatan politik. Namun, katanya, demokrasi turut melibatkan hak rakyat memilih wakil mereka melalui pertandingan yang bermakna.
Dalam kemenangan tanpa bertanding, pengundi kehilangan peluang membandingkan calon dan tawaran dasar, menilai rekod penyandang, membuat pilihan di peti undi serta menggunakan undi untuk menuntut akauntabiliti wakil rakyat.
"Menang tanpa bertanding mungkin sah mengikut undang-undang pilihan raya. Namun, ia tidak boleh disamakan dengan mandat yang diperoleh menerusi undi rakyat," kata ROSE.
ROSE turut mempersoalkan sama ada keadaan semasa mencerminkan kematangan dan kestabilan politik atau berkurangnya persaingan demokratik di Sarawak. Pertubuhan itu juga bertanya setakat mana parti yang memilih untuk tidak bertanding mengambil kira hak pengundi untuk memilih.
"Jika hampir separuh kerusi dimenangi tanpa bertanding, apakah implikasinya terhadap budaya demokrasi, akauntabiliti serta semak dan imbang di Sarawak?" soalnya.
ROSE menggesa parti politik mengutamakan kepentingan demokrasi dan hak rakyat untuk memilih sebagai pertimbangan utama dalam membuat keputusan politik. "Persaingan politik yang sihat bukan ancaman kepada kestabilan. Sebaliknya, pertandingan yang bebas dan adil memberi peluang menilai pemimpin, mengemukakan alternatif dan memastikan wakil rakyat tidak mengambil mandat mereka dengan ringan," katanya.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




