Khamis, 26 November 2026
TERKINI
Sembilan daerah di Kelantan berisiko banjir sehingga 30 November susulan amaran hujan berterusan'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAHBekalan elektrik terhad dipulihkan di pantai timur Sabah, pemulihan penuh dijangka 3 DisemberMalaysia buat kali pertama tersenarai tujuh negara Asia dengan kerugian penipuan tertinggi – GASAPersatuan hotel gesa kerajaan timbang semula keperluan visa baharu warga IndiaDewan Rakyat lulus Belanjawan 2027 menerusi undi suaraPemimpin DAP persekutuan bukan warga Sarawak tidak akan berkempen pada PRN SarawakDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan SMJK Yong Peng, Wong Kah Woh: keputusan sedang disediakanDr Wee gesa KPM luluskan pemindahan sekolah Yong Peng, Wong Kah Woh: ulasan sedang disediakanKPM putuskan pada 2029 sama ada murid enam tahun wajib masuk Tahun Satu – Wong Kah Woh

PAC gesa kuota minyak masak bersubsidi dikaji berkala bagi sekat ketirisan dan penyeludupan

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji kuota bulanan minyak masak bersubsidi secara berkala berdasarkan permintaan domestik sebenar yang dianggarkan antara 19,000 dengan 30,000 tan metrik, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Jawatankuasa itu berkata had kuota bulanan semasa sebanyak 55,000 tan metrik perlu dinilai menggunakan data transaksi sebenar sistem eCOSS bagi mengelak lebihan bekalan yang boleh membuka ruang kepada ketirisan dan penyeludupan.

Had itu dikurangkan daripada 60,000 kepada 55,000 tan metrik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kewangan mulai 1 Jun tahun ini.

Dalam laporan susulan mengenai pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak, PAC turut menggesa kementerian mempercepat pengesahan dokumen dan menjalankan audit kos lanjut bersama kilang penapisan sebelum kadar subsidi dimuktamadkan. Gesaan itu susulan tinjauan yang menunjukkan kos operasi syarikat pembungkusan semula meningkat 9.63 peratus kepada RM2,982 setiap tan metrik.

Jawatankuasa itu juga mahu pemeriksaan lebih ketat ke atas rekod melibatkan pembungkus semula, pemborong dan peruncit bagi mengelak manipulasi laporan stok minyak masak rosak atau tamat tempoh. Tindakan undang-undang tegas perlu diambil terhadap pihak yang mengalihkan minyak masak bersubsidi ke dalam rantaian bekalan minyak masak terpakai, katanya.

Mengenai subsidi bersasar, PAC mengalu-alukan penggazetan peraturan yang melarang bukan warganegara membeli minyak masak paket serta projek perintis aplikasi Mobile eCOSS. Namun, ia mengesyorkan sistem itu diintegrasikan dengan MyDigital ID atau platform bantuan sedia ada seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Budi RON95 dan Budi Diesel.

Kementerian juga perlu membentangkan laporan keberkesanan projek perintis itu sebelum pelaksanaan di seluruh negara, terutama bagi menangani risiko ketirisan akibat pencatatan manual di kawasan tanpa akses Internet.

PAC turut mendesak kementerian menyediakan penilaian ekonomi dan unjuran pasaran terkini kepada Kabinet berdasarkan pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO) semasa, dan bukan bergantung semata-mata pada kajian lama seperti yang dijalankan KPMG pada 2022.

Jawatankuasa itu menyeru peralihan telus berikutan keputusan kementerian menarik balik kuota pembungkusan semula sebanyak 1,370 tan metrik daripada kilang penapisan milik asing mulai 1 Januari 2027. Pemindahan kuota kepada kilang penapisan milik tempatan perlu diurus dengan baik bagi memastikan rantaian pengedaran dan kestabilan bekalan minyak masak bersubsidi tidak terjejas.

Dari sudut penguatkuasaan, PAC berkata operasi bersepadu Ops Tiris, bersama penggunaan dron dan pemasangan CCTV di kawasan sempadan yang menjadi tumpuan penyeludupan, perlu diteruskan secara konsisten. Ia turut mencadangkan pendakwaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bagi melumpuhkan sindiket penyeludupan.

Pemeriksaan fizikal berkala ke atas syarikat pembungkusan semula juga perlu dipertingkat bagi membendung ketidakpatuhan di punca bekalan, selain penyahaktifan 211 pemborong dan peruncit daripada sistem eCOSS.

Laporan susulan itu dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dan dijadual dijelaskan serta dibahaskan pada 30 November.

Laporan asal PAC dibentangkan pada 16 Julai, diikuti penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang menyerlahkan kelemahan serius dalam pelaksanaan, pemantauan dan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi melibatkan peruntukan kerajaan RM12.138 bilion. Jawatankuasa itu membuat lapan syor kepada kementerian dan agensi berkaitan.

TopikPACMinyak masak bersubsidieCOSSKetirisanDewan Rakyat

Foto: Ssemmanda will / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan