Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Takiyudin Hassan menyatakan bahawa PAS menyambut baik keputusan kerajaan untuk memulakan langkah penyasaran subsidi diesel semalam.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, beliau juga turut menyuarakan kebimbangan akan kemungkinan kesan negatif yang akan melanda rakyat akibat langkah subsidi bersasar ni.
“PAS mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah ini, namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat,” katanya.
Hal ini disuarakan oleh pemimpin PAS sejurus selepas sidang media yang dilakukan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam. Amir Hamzah menyatakan bahawa kerajaan akan menjimatkan sebanyak RM 4 bilion dengan penyasaran subsidi yang dijalankan selepas harga diesel diapungkan dan menjadi RM 3.35 hari ini.
Menurut Amir Hamzah dalam sidang media petang semlam, pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, dan kumpulan berpendapatan rendah adalah mereka yang mendapat bantuan subsidi diesel di bawah SKDS 1.0 (pengangkutan awam), SKDS 2.0 (pengangkutan logistik), Budi Madani untuk individu dan BUDI Agri-Komoditi untuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Beliau juga berkongsi bahawa Budi Madani tidak ada tarikh tutup untuk memudahkan golongan sasaran memohon bantuan subsidi diesel.
Takiyudin menyatakan bahawa PAS berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, dan kumpulan berpendapatan rendah akan diliputi sepenuhnya di bawah langkah pengecualian yang disediakan.
Dalam menyatakan kegusaran beliau, Takiyudin menyatakan bahawa parti ini percaya, bahawa langkah pyang diambil oleh kerajaan ini perlu dipantau secara dekat oleh kerajaan.
“PAS percaya, langkah penyasaran subsidi diesel ini perlu dipantau keberkesanannya secara dekat oleh kerajaan dan semua langkah perlu hendaklah diambil segera sekiranya terdapat tanda-tanda perjalanannya terseleweng atau tidak mencapai sasaran,” tambahnya lagi.