Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini berhubung dengan kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu pada bulan Disember tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengumumkan bahawa perintah reman terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Mereka ditahan berdasarkan risikan sejak hari kejadian hingga kini.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai keesokan harinya.
Polis mengesahkan bahawa kanak-kanak berusia enam tahun itu mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.
Sejak itu, lebih daripada 225 individu telah disoal dan 248 sampel DNA telah diambil bagi tujuan siasatan. Polis menegaskan bahawa siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan tidak pernah ditutup.
Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan semalam bagi membantu siasatan lanjut, dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.
Polis sedang mengumpul bukti pembabitan mereka selepas risikan yang dijalankan sejak enam bulan lalu.