Polis tahan 34 orang, termasuk 30 warga Myanmar, di lokasi pendaratan haram Tanah Merah

TANAH MERAH: Polis menahan 34 orang termasuk empat lelaki tempatan yang disyaki menjadi penyeludup dalam operasi membanteras kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan tidak sah di Jeti Pendaratan Haram Yuti, Nibong, di sini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata operasi pada jam 9.45 pagi Ahad itu turut menahan 30 warga Myanmar, terdiri daripada 18 lelaki dan 12 wanita.
Menurutnya, operasi berdasarkan risikan itu dijalankan oleh Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah, diketuai ketua Balai Polis Nibong dan Batu Gajah serta melibatkan 10 anggota dari balai Nibong, Batu Gajah, Bukit Bunga dan Lalang Pepuyu.
Beliau berkata, tiga daripada empat lelaki tempatan yang ditahan disahkan positif dadah. Polis turut menemui sebotol cecair yang disyaki air ketum dianggarkan 450 mililiter di dalam sebuah kereta. Dua kereta dirampas untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, katanya dalam kenyataan pada Isnin.




