PRN Melaka: Adam Adli gesa pengundi muda buat keputusan berasaskan fakta

MELAKA: Pengundi muda di negeri ini digesa menggunakan kuasa mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan membuat keputusan berdasarkan maklumat tepat dan fakta.
Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata pengundi tidak seharusnya dipengaruhi sentimen atau politik kebencian ketika mengundi pada 14 November ini.
Menurut beliau, pengundi berumur 18 hingga 39 tahun merangkumi 47.34 peratus daripada 687,697 pemilih berdaftar di Melaka dan mempunyai kuasa membentuk masa depan pentadbiran negeri, justeru perlu memilih pemimpin yang berintegriti.
"Secara lazimnya, apabila membuat keputusan, selain merujuk akal, kita juga merujuk hati tentang apa yang rasional dan apa yang membentuk emosi kita.
"Carilah apa yang baik, dan jangan berasaskan politik kebencian," katanya dalam temu bual baru-baru ini.
Adam Adli optimistik terhadap masa depan Melaka selepas melihat penglibatan aktif generasi muda negeri itu dalam proses demokrasi.
"Tanggungjawabnya sama sama ada muda atau tua, tetapi saya percaya anak muda mempunyai tenaga dan keberanian yang berbeza untuk membawa perubahan. Negeri ini ada masa depan cerah kerana anak muda Melaka aktif dalam proses demokrasi. Ini masa anda," katanya.
Mengenai pemilihan calon PKR, beliau berkata parti itu mengambil pendekatan lebih teliti dengan menurunkan tujuh wajah baharu daripada 10 kerusi negeri yang ditandingi. Penilaian rapi dibuat bagi memastikan calon sesuai dengan kawasan masing-masing dan mendapat sokongan jentera akar umbi, di samping memberi peluang kepada pemimpin muda.
Sebagai contoh, calon kerusi Kelebang, Farzana Hayani Mohd Nasir, sebelum ini bertanding di Sungai Rambai yang bukan kampung halamannya. Kini di Kelebang, beliau berada di kawasan sendiri, bekerja di situ sejak peringkat awal dan bergaul dengan masyarakat setempat.
Adam Adli berkata PKR menyasarkan kemenangan di beberapa kerusi yang dikenal pasti, di samping meningkatkan undi di semua kawasan yang ditandingi berbanding PRN Melaka 2021. Keyakinan itu berdasarkan aliran pengundi yang disifatkannya lebih positif, sedangkan PRN lalu mencatat keluar mengundi rendah, iaitu 65.85 peratus.
"Kami akan sentiasa mensasarkan kemenangan di kawasan yang ada peluang. Di kawasan yang bukan kubu kami, kami mesti pastikan sokongan meningkat dari semasa ke semasa. Jika daripada 10 undi kepada 100, dan 100 kepada 1,000, kami akan terus membina sehingga akhirnya berjaya menang," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 November sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 10 November.
Foto: IskandarPutraa / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




