Diaspora Malaysia di Qatar adakan latihan pemindahan hadapi ancaman perang

DOHA: Diaspora Malaysia di Qatar mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan dengan mengadakan latihan pemindahan, termasuk simulasi melibatkan ancaman perang dan nuklear.
Duta Malaysia ke Qatar, Faizal Razali, berkata inisiatif dianjurkan komuniti Malaysia melalui Persatuan Malaysia di Qatar (MAQ) itu turut melibatkan rakyat Malaysia di Bahrain sebagai persiapan menghadapi kemungkinan krisis keselamatan di rantau berkenaan.
Beliau berkata MAQ, yang menghimpunkan kira-kira 30 kelab komuniti, memainkan peranan penting sebagai rangkaian sokongan kepada Kedutaan Malaysia, terutama dalam membantu rakyat Malaysia ketika krisis.
"MAQ bersama pemimpin komuniti dan wakil yang dilantik telah berjaya membantu kedutaan menguruskan kira-kira 6,000 rakyat Malaysia ketika krisis, termasuk mengatur pemindahan dan kepulangan mereka ke Malaysia," katanya pada pertemuan antara Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan diaspora Malaysia di sini pada Sabtu.
Menurut Faizal, MAQ turut menganjurkan pelbagai aktiviti interaktif seperti ceramah dan konsert dalam talian bagi meredakan kebimbangan rakyat Malaysia ketika krisis. Seramai kira-kira 6,200 rakyat Malaysia tinggal di Qatar, bekerja dalam pelbagai sektor profesional dan penting.
Beliau menyifatkan komuniti itu antara yang paling aktif, tersusun dan patriotik di rantau tersebut.
"Rakyat Malaysia di Qatar antara yang paling berdisiplin, saling menyokong dan patriotik, dan mereka sentiasa menjaga nama baik Malaysia. Malah kerajaan Qatar sangat menghormati rakyat kita dan mengiktiraf kepakaran mereka," katanya.
Semangat perpaduan turut dipupuk melalui Sukan Malaysia Qatar yang menampilkan 16 jenis sukan, manakala acara bot naga baru-baru ini menarik kira-kira 200 peserta, dengan jumlah kehadiran termasuk penonton sekitar 500 orang. Majlis Persatuan Perniagaan Malaysia pula ditubuhkan bagi menggalakkan kerjasama ekonomi Malaysia-Qatar, dan persatuan belia Qampung terus aktif dalam kegiatan sosial, budaya dan patriotik.
Faizal berkata lawatan Fahmi ke Doha membantu mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia di luar negara dengan kerajaan.
Sementara itu, Edwin John Clement Henry, 49, berkata akses kepada maklumat tepat dan boleh dipercayai penting untuk mengelakkan kekeliruan, terutama ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat dan penyebaran khabar angin di media sosial.
Edwin, yang menetap di Qatar sejak 2007, berkata ada tanggapan di tanah air bahawa rakyat Malaysia di negara itu tidak selamat dan perlu dipindahkan, namun ia tidak mencerminkan keadaan yang dialami keluarganya.
"Saya boleh katakan kami berasa selamat walaupun ada isu geopolitik ini. Saya dan keluarga berasa sangat selamat di sini," kata Edwin, yang berasal dari Selangor.
Foto: Francisco Anzola / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




