KUALA LUMPUR: Seorang bapa berusia 45 tahun ditahan susulan dakwaan merogol anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) sehingga hamil.
Kejadian tragis itu terbongkar apabila remaja perempuan berusia 13 tahun itu melahirkan seorang bayi selepas mengadu sakit perut.
Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mangsa yang dibawa ke Klinik Ketengah Jaya dengan keluhan kesakitan, mengejutkan kakitangan klinik apabila didapati dalam keadaan hamil.
“Pada mulanya mangsa dibawa ke Klinik Ketengah Jaya selepas mengadu sakit perut namun pihak klinik terkejut selepas mendapati mangsa sebenarnya hamil.
“Kanak-kanak itu melahirkan seorang bayi kira-kira jam 7 malam ketika dirawat di klinik tersebut dan segera dikejarkan ke Hospital Dungun,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Maizura, bertindak daripada laporan diterima, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek.
“Suspek berusia 45 tahun yang merupakan seorang buruh telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah diperkosa berulang kali oleh bapanya sejak berusia 12 tahun dan suspek juga memiliki rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Maizura berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah rogol.
Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dikenakan hukuman sebatan.
Kes tersebut kini sedang disiasat secara teliti bagi memastikan keadilan tercapai dalam proses undang-undang.