Seorang lemlas ditemui, tujuh masih hilang dalam kejadian air naik mendadak di Sungai Pertak

KUALA KUBU BHARU: Seorang lelaki ditemui lemas dalam kejadian air naik mendadak di Sungai Pertak di sini awal pagi Selasa, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh mangsa lain yang masih hilang diteruskan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ashrul Riezal Asbar, mengesahkan mangsa itu seorang lelaki tempatan. Menurut beliau, mayat mangsa ditemui berhampiran Jambatan Pertak pada pukul 1.30 pagi.
Operasi SAR disambung pagi ini dengan kawasan carian dibahagikan kepada empat sektor. Sektor A meliputi kawasan dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, manakala Sektor B bermula dari Lubuk Pertak hingga Jambatan Empangan.
Sektor C pula meliputi kawasan Jambatan Empangan, sementara Sektor D melibatkan kawasan empangan.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang semalam berhubung kejadian air naik mendadak di Sungai Pertak. Maklumat awal menyebut seorang lelaki warga Yaman berusia 20 tahun dihanyutkan arus deras ketika berkelah bersama empat individu lain, yang kemudian disahkan selamat.
Bomba kemudian menerima maklumat tentang kumpulan lain di Lata Jebus, dengan tujuh orang dilaporkan dihanyutkan arus, manakala beberapa yang lain berjaya menyelamatkan diri atau terkandas. Pasukan penyelamat turut menerima laporan mengenai kumpulan yang terkandas di Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah.
Seramai 19 mangsa yang terkandas dibawa turun dengan selamat pada pukul 12.16 tengah malam. Polis masih mengumpul maklumat bagi memastikan jumlah sebenar mangsa yang hilang.




