Sindiket dadah guna kemudahan tentera 21 kali, ketua masih bebas – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Siasatan awal mendapati individu yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota serta operasi penerbangan tentera membuka ruang kepada sebuah sindiket dadah untuk menyalahgunakan kemudahan penerbangan ketenteraan bagi menyeludup dadah, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, risikan polis mengesan tujuh urusan terdahulu membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta yang dikaitkan dengan satu sel di Tawau. Satu lagi sel di Labuan pula dikaitkan dengan 14 urusan sejak Ogos 2024 membabitkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta.
"Semua ini adalah dapatan risikan," katanya ketika menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Saifuddin, angka itu tidak termasuk 96.64 kilogram methamphetamine yang dirampas dalam operasi pada 17 dan 19 November membabitkan orang awam dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Seramai 13 orang ditahan, terdiri daripada tujuh anggota TUDM dan enam orang awam. Polis turut merampas tiga kenderaan bernilai RM172,062, selain dadah bernilai RM4.83 juta.
Beliau memaklumkan ketua sindiket itu telah dikenal pasti tetapi masih bebas.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kemungkinan rangkaian lebih besar, Saifuddin berkata penemuan awal menunjukkan kegiatan itu bermula beberapa tahun lalu dan membabitkan sindiket besar yang mantap. Menurutnya, ada individu yang sudah ditahan, didakwa dan dipenjarakan, manakala yang lain masih bebas.
Siasatan kini diperluas untuk menentukan peranan semua pihak terlibat, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan pengedar kecil. Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan polis mungkin mempertimbangkan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Saifuddin berkata polis mula mengumpul risikan pada Januari dan berkongsi dapatan dengan pihak tentera pada September dan Oktober, sebelum operasi pada 17 November dilakukan.
Beliau turut memberi jaminan tindakan lanjut akan diambil terhadap semua yang dikenal pasti, tanpa mengira jawatan atau kedudukan.




