KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua beradik yang telah termakan keropok yang mengandungi racun tikus, dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Muhammad Akil Syauqi, berusia 3 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.30 pagi, menurut ibunya, Nurain Hasnorizal, 25 tahun.

“Abang (Muhammad Akil Syauqi) sudah tiada (meninggal dunia) ketika terima rawatan.

Urusan bedah siasat akan dijalankan dan jenazah akan dibawa pulang ke Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim bagi disemadikan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Warta Malaysia melaporkan bahawa kedua beradik tersebut, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi yang masing-masing berumur dua dan tiga tahun, berada dalam keadaan kritikal selepas didakwa termakan keropok yang dicampur racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Keropok tersebut dipasang di pagar dawai dengan tujuan untuk menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman pekebun.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia