2,134 calon SPM di Pahang berisiko terjejas banjir, Kuantan paling ramai

MARAN: Seramai 2,134 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang dikenal pasti berisiko terjejas banjir, dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 697 calon.
Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Ahmad Zamri Md Isa, berkata angka terkini itu terdiri daripada 1,000 calon lelaki dan 1,134 calon perempuan, berdasarkan sistem pemantauan dalam talian Dashboard Ops Payung yang dibangunkan Jabatan Pendidikan Negeri.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang telah mengaktifkan mekanisme tindak balas bersepadu bersama agensi keselamatan dan kesihatan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan calon dan petugas peperiksaan.
"Pusat peperiksaan juga dibahagikan kepada 65 kluster di seluruh negeri bagi memudahkan kawalan apabila berdepan banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Maran di Kampung Berkat di sini pada Isnin.
Selepas Kuantan, daerah lain yang mempunyai calon berisiko ialah Temerloh (418), Maran (246), Lipis (175), Jerantut (135), Pekan (114), Rompin (107), Bentong (90), Bera (73), Raub (43) dan Cameron Highlands (36).
Ahmad Zamri berkata, kesiapsiagaan JPN Pahang bukan tertumpu kepada banjir semata-mata, malah merangkumi Operasi Topeng bagi menangani jerebu, Operasi Gempa untuk bencana alam seperti gempa bumi dan Operasi Wabak bagi menangani penularan penyakit berjangkit.
Beliau turut menasihatkan calon yang terlibat atau terkesan akibat bencana supaya segera menghubungi sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau JPN agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
Foto: Richard Sutcliffe / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




