Anggota polis putus pergelangan tangan ditetak parang, suspek warga asing maut ditembak

SELAYANG: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah apabila pergelangan tangan kanannya terputus ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di Desa Aman Puri pada Rabu. Suspek kemudian disahkan meninggal dunia selepas ditembak polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir untuk memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai tidak stabil dan mengamuk.
Menurutnya, sebaik sahaja pintu rumah itu dibuka, lelaki berkenaan tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang lalu menyerang anggota yang berada di hadapan pintu.
"Akibat serangan itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya terputus ketika cuba mempertahankan diri. Anggota lain yang berada di lokasi kemudian berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri dengan berlari turun ke bawah," katanya dalam sidang media di Hospital Selayang pada Rabu.
Anggota berusia 26 tahun itu bertugas di bahagian kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Mangsa pada mulanya dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan. Beliau berada dalam keadaan stabil, selain mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan.
"Insya-Allah, kita berdoa supaya tangan mangsa dapat disambungkan semula," kata Shazeli.
Anggota bomba dan KKM yang berada di lokasi turut mengalami kecederaan ringan, dan polis sedang mendapatkan laporan lanjut daripada kedua-dua agensi itu.
Shazeli berkata suspek berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari lokasi kejadian. Usaha menahannya dilakukan antara kira-kira jam 7.30 dan 8 malam, tetapi suspek sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang.
"Dalam usaha mempertahankan diri dan melakukan tangkapan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek. Bagaimanapun, tembakan itu hanya mencederakan lelaki berkenaan sebelum polis berusaha membawanya ke hospital," katanya.
Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan sebaik tiba di Hospital Selayang. Jumlah sebenar tembakan serta bahagian tubuh yang terkena masih belum dapat dipastikan, dan polis menunggu keputusan bedah siasat. Menurut Shazeli, keadaan ketika kejadian agak gelap.
Polis percaya suspek seorang warga asing, namun identiti dan butiran lanjut masih dalam proses pengesahan. Setakat ini tiada individu lain dipercayai terlibat dalam kejadian itu.




