Anwar arah siasatan menyeluruh selepas pelajar Tingkatan Tiga ditemui maut di Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan selepas seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemui maut di kawasan sebuah sekolah berasrama penuh di sini pada Rabu.
Menurut satu laporan, pelajar itu ditemui meninggal dunia di perkarangan sekolah berkenaan.
Dalam hantaran di Facebook, Anwar menegaskan tiada aspek yang boleh diabaikan bagi memastikan keadilan dilaksanakan dan insiden seumpama itu tidak berulang.
Beliau turut menyampaikan takziah kepada keluarga pelajar terbabit. "Semoga keluarga diberi kekuatan dan kesabaran melalui saat yang amat sukar ini. Al-Fatihah," katanya.
Sebelum itu, Jabatan Pendidikan Negeri Perak memaklumkan pihaknya sedang memantau perkembangan kejadian dan mengarahkan pihak sekolah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.
Jabatan itu turut menggerakkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada pelajar, guru dan kakitangan sekolah bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberi perhatian sewajarnya.




